ARTIKEL-ARTIKEL j-QAF
>> Friday, May 15, 2009
KUALA LUMPUR 3 Julai – Program Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j- QAF) akan diperluas dan diperkasa sebagai salah satu kaedah meningkatkan kemahiran pelajar dalam tulisan jawi.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sehingga kini program berkenaan berjaya meningkatkan kemahiran pelajar dalam bidang keagamaan termasuk memahami tulisan jawi.
‘‘Sebenarnya dari segi kerangka petunjuk prestasinya (KPI), j-QAF adalah antara program yang cukup berjaya,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau mengulas saranan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah supaya tulisan jawi dijadikan mata pelajaran di sekolah tanpa mengira kaum, agama dan keturunan.
Baginda bertitah, perkara itu tidak mustahil dilakukan kerana jawi hanyalah satu tulisan yang tidak ada kaitan dengan agama Islam atau usaha-usaha pengislaman orang bukan Islam.
Sebagai contoh, titah baginda, ramai masyarakat Cina di pantai Timur mahir membaca dan menulis jawi dan pada masa sama mengamalkan agama asal mereka.
Hishammuddin berkata, pada masa ini program berkenaan dilaksanakan di sekolah rendah sahaja.
‘‘Dan jika program itu berjaya kita mungkin luaskan ke sekolah menengah dalam konteks berbeza,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pihak tertentu supaya tidak mempolitikkan usaha kementerian dalam meningkatkan pengetahuan agama pelajar.
UTUSAN MALAYSIA - 4 Julai 2007
KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu program Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF) bakal diajar di semua sekolah rendah seluruh negara menjelang 2010.
Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar berkata program itu diakui telah meningkatkan kemahiran murid dalam bacaan Al-Quran dan Jawi, asas Bahasa Arab dan asas fardu ain walaupun baru tiga tahun dilaksanakan.
"Mengikut perancangan menjelang tahun 2010 semua sekolah rendah akan diajar J-QAF," katanya menjawab soalan Datuk Che Min Che Ahmad (BN-Pasir Puteh).
Program J-QAF kini diajar di beberapa buah sekolah rendah terpilih pada waktu petang.
"Kementerian sangat berkeyakinan program J-QAF ini mampu menyediakan modal insan yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek pada masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR 15 Ogos - Pengambilan guru bagi program pembelajaran jawi al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain (j-Qaf) kini mencecah hampir 9,000 orang sejak ia dilaksanakan pada tahun 2005.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, pengambilan tersebut akan ditambah dari semasa ke semasa memandangkan program tersebut dilihat memberi impak besar kepada pelajar sekolah.
''Setiap tahun, kita sudah mengambil kira-kira 3,000 guru bagi program tersebut. Kita akan melakukan pelbagai usaha untuk memantapkan pemikiran dan latihan guru-guru yang diambil,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan syarahan umum dan merasmikan Siri Wacana Pemikiran Epistemologi Alam Melayu anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.
Katanya, program j-Qaf merupakan antara elemen penting dalam memartabatkan alam dan tamadun Melayu.
Justeru, Razali berkata, kementerian akan bekerjasama dengan ATMA termasuk penglibatan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi mengadakan siri perbincangan mengenai alam dan tamadun Melayu di peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi lain.
Terdahulu dalam syarahan umumnya, Razali berkata, program j-Qaf yang dilaksanakan berjaya menampakkan hasil apabila generasi muda Melayu mampu menguasai pengajaran jawi, al-Quran dan aspek fardu ain.
Katanya, ia memainkan peranan penting supaya masyarakat mampu menghayati epistemologi dunia Melayu.
''Ia antara langkah yang dilakukan kementerian supaya pemahaman dan penghayatan tidak terjejas dan akan membolehkan pembangunan modal insan berjalan seiring dengan pembinaan masyarakat,'' katanya. Read more...